Buat kali ke-16 guru-guru dari negara-negara Nusantara telah berkumpul lagi bagi memeriahkan Pertemuan Guru-Guru Nusantara (PGN). Pertemuan yang diadakan hampir setiap tahun telah menyaksikan Singapura sebagai tuan rumah pada tahun ini. Seramai 160 peserta PGN daripada negara-negara anggota telah mengambil bahagian dalam pertemuan tahun ini yang diadakan di Downtown East dari 4-5 September 2015. Matlamat PGN ini tidak lain tidak bukan adalah untuk berkongsi pengalaman dan kajian mengenai pengajaran dan pembelajaran, isu pendidikan, kebahasaan dan kebudayaan di negara-negara anggota. Anggota-anggota PGN terdiri daripada Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB), Persatuan Guru Republik Indonesia (PGRI), Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS).
Acara yang berlangsung dari 4-5 September itu dimulakan dengan Majlis Makan Malam dan Perasmian PGN16 yang cukup meriah. Majlis telah diserikan dengan persembahan tarian oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Bukit Batok dengan iringan muzik oleh kumpulan muzik tradisional, Gendang Akustika. Lelaman PGN juga turut dilancarkan pada malam yang penuh bermakna itu.
Hari berikutnya memperlihatkan wakil-wakil dari setiap negara anggota PGN membentangkan kertas kerja masing-masing. Wakil KGMS, Cikgu Mohamad Ali Hanifiah Bin Abdullah telah membentangkan kertas kerjanya yang berjudul Menuju Ke Arah Negara Bijak, Melentur Rebung Memperkasa Buluh, Mentransformasikan Sekolah Sebelum Khalayak ICT dan Dunia Pendidikan Abad Ke-21: Pengalaman Singapura. Dr. Sallimah M. Salleh,wakil PGGMB pula berkongsi kertas kerjanya tentang Kajian Penggunaan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) Guru-Guru di Sekolah Menengah di Brunei manakala Dr. H. Sugito dari PGRI membincangkan Perubahan Kurikulum Untuk Meningkatkan Kualitas Pendidikan. Pembentang terakhir,Dato’ Haji Mohamed Sabri Hj. Md. Arsad pula membentangkan kertas kerjanya yang berjudul Pembangunan ICT Sebagai Satu Anjakan Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Menyelusuri Abad 21. Setiap pembentangan diselangi dengan sesi tanya jawab oleh para peserta persidangan. Persidangan diakhiri dengan penandatanganan resolusi PGN16 sebelum penyampaian bendera PGN oleh KGMS kepada PGRI bagi menandakan giliran Indonesia sebagai tuan rumah untuk PGN ke-17 tahun hadapan.
Leave A Comment