Cikgu Rohan Nizam Basheer

Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya, Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) telah berjaya mencapai usia yang ke-70 tahun (1947-2017). Kewujudan KGMS ialah berkat usaha dan pengorbanan para perintis dan pejuang KGMS yang telah menabur bakti dan jasa sepanjang penubuhannya. Ini merupakan suatu hakikat yang tidak dapat kita nafikan. Zaman pasca Perang Dunia Ke-2 dan juga zaman awal kemerdekaan Singapura,

hingga kini menyaksikan ramai dalam kalangan guru-guru Melayu yang gigih menabur bakti dan berkhidmat untuk masyarakat dan negara. Mereka bergerak di dalam pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam setempat dan juga di dalam pergerakan buruh. Tidak kurang juga yang melibatkan diri dan memberikan sumbangan besar di dalam arena politik negara.

Tujuh abad telah berlalu dan KGMS berada dalam dakapan abad ke-21 yang menyajikan cabaran yang berbeza serta unik. Kini, keanggotaan KGMS sebahagian besarnya terdiri daripada guru-guru yang muda dan sedang giat membina kerjaya masing-masing. Kerjaya perguruan juga telah menyaksikan peningkatan dan perubahan dalam pelbagai aspek. Landskap pendidikan negara dan global yang beralih kepada persediaan cabaran abad ke-21 juga memberikan dampak kepada KGMS. Hal ini juga melibatkan perubahan pada usaha dan cara hak dan kebajikan para anggota diperjuangkan. Faktor-faktor ini menyajikan pelbagai cabaran unik bagi KGMS mengekalkan kerelevanan bukan sahaja kepada para anggotanya tetapi kepada landskap pendidikan secara umumnya.

Kini, tugas menangani cabaran-cabaran ini menjadi agenda utama barisan kepimpinan dan juga para relawan KGMS. Kita perlu melangkah ke hadapan dan berani melakukan perubahan untuk terus kekal relevan demi menjaga hak dan kebajikan para anggota KGMS dan pada masa yang sama menjadi badan Melayu/Islam yang memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat dan negara. KGMS akan terus gigih berusaha untuk melakarkan dan menjalankan kegiatan-kegiatan yang menarik dan relevan buat para anggotanya. Kami juga berazam untuk terus kekal menyuarakan keprihatinan guru-guru dalam hal-hal kebajikan dan hak mereka.

Bagi pihak Jawatankuasa Pengelola KGMS, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada para anggota KGMS yang telah menyokong segala usaha KGMS. Tidak lupa juga kepada para mantan pemimpin dan anggota KGMS; jasa anda sentiasa dikenang dan amat dihargai. Semoga usaha kita ini terus mendapat rahmat dan ganjaran daripada Ilahi.

Salam hormat.

ROHAN NIZAM BASHEER
YANG DIPERTUA KGMS